Pengertian hukum Naqli dan sumbernya.
Naqli dari
sudut bahasa ialah “naqlu shai’in”
mengambil sesuatu dari satu tempat ke tempat yang lain. Dalil naqli juga bersumber dari dua hukum Islam
iaitu kalam Allah(Al-Quran) dan hadis
Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan ucapan, perbuatan dan taqrir baginda. Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa: “Telah aku tinggalkan dua perkara, yang mana apabila
kalian berpegang teguh dengan kedua-duanya
maka kalian tidak akan sesat’ yakni Al-Quran dan Sunnah Nabi Nya. Namun
ketika naqli dihubungkan dengan Ilmu
Tafsir maka ianya disebut tafsir bi
al-manqul atau bi al-ma’tsur,iaitu
penafsiran Al-quran yang disandarkan kepada riwayat-riwayat yang sahih secara
tertib atau dengan cara mentafsirkan Al-Quran dengan Al-Quran atau
menafsirkannya dengan As-Sunnah atau menafsirkannya dengan riwayat-riwayat yang
diterima dari para sahabat atau para tabiin.
At-Thabari
dan Ibnu Katsir menafsirkan Al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang secara
bahasa merupakan masdar (kata benda)
dari kata kerja yang berwazan. Secara
istilah Al-Quran adalah kalam Allah, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w
dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah. Secara lengkapnya, Al-Quran adalah kalam Allah yang bermukjizat yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam
bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir
dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah, bermula dengan Surah Al-Fatihah
dan berakhir dengan Surah An Naas.
Oleh
kerana itu, Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang kuantitinya tidak
diragui lagi baik dari segi asal-usulnya, turunnya, riwayatnya, ayat-ayatnya
dan lain-lain. Oleh kerana itu, umat Islam menjadikannya sebagai sumber utama
dalam mempelajari, memahami, dan menjalankan ajaran(syariat) Islam atau dalam
mengambil dalil-dalil mengenai perkara atau permasalahan yang mempunyai
kaitannya dengan keimanan dan amal ibadah mereka. Bahkan kitab suci Al-Quran
ini juga menempati tempat pertama dalam struktur hukum syar’i sesuai dengan kedudukan Al-Quran sebagai sumber hukum yang
tertinggi. Setiap penetapan hukum syar’i
harus dan mutlak tidak boleh bertentangan dengan kitab suci Al-Quran.
Manakala As-Sunnah dari segi bahasa
bermakna jalan hidup yang baik atau buruk atau juga bermakna jalan. Dari segi
istilah ianya mempunyai beberapa pengertian iaitu antaranya:
1. Sunnah
menurut muhadditsun (ahli hadis)
adalah apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w sama ada dari segi
perkataan atau perbuatan, atau pengakuan atau sifat akhlak (peribadi) dari
permulaaan utusannya sampai kewafatan baginda.
2. Sunnah
menurut Ulama Usul adalah
perkataan-perkataan Rasulullah s.a.w dan perbuatan, pengakuan yang diriwayatkan
kepada kita dengan periwayatan yang sahih.
Sunnah
Rasulullah s.a.w adalah sumber rujukan umat Islam kedua setelah Al-Quran, di
mana kedudukannya dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dapat diragukan kerana
terdapat penegasan yang banyak di dalam Al-Quran tentang sunnah tersebut. Dengan
adanya penegasan dalam Al-Quran tentang sunnah, jelaslah bahawa sunnah tidak
dapat dipisahkan penggunaannya di dalam segala hal yang berkaitan dengan Islam.
Dalil-Dalil
di atas ini juga berdasarkan kepada penetapan-penetapan yang sudah ditetapkan
Allah dan Rasulullah. Penetapan ini bersifat pasti ataupun penetapan-penetapan
yang memerlukan kepada penafsiran yang lebih lanjut. Kalam suci Allah iaitu Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad
untuk disampaikan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat dan hadis Nabi berfungsi
sebagai pengukuh dan penjelasan yang lebih mendalam kepada ayat suci Al-Quran.
Fungsi-fungsi
sunnah dalam Islam.
Terdapat
pelbagai fungsi sunnah dalam Islam yang mana ianya dapat mengukuhkan lagi
tentang sesuatu perkara. Antara fungi-fungsinya ialah:
1. Penguat
dan penyokong hukum-hukum yang terdapat di dalam Al-Quran seperti dalam perkara
pensyariatan solat, puasa dan haji.
2. Penghurai
dan pentafsir ayat-ayat Al-Quran yang umum seperti memperjelaskan mengenai tata
cara perlaksanaan solat, kaedah jual beli, menunaikan zakat, dan haji dan
sebagainya yang mana perkara tersebut hanya disebutkan secara umum dalam Al-Quran.
3. Menjadi
keterangan tasyri’ iaitu menentukan
sesuatu hukum yang tidak disebutkan dalam Al-Quran seperti dalam hal memakan
haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu terlatih seperti anjing yang mana
buruan tersebut terdapat kesan dimakan oleh haiwan pemburu terlatih tadi dan
kesan tersebut menunjukkan bahawa haiwan pemburu tadi menangkap buruan untuk
dirinya sendiri. Maka dalam hal ini, hadis menerangkan bahawa buruan yang
mempunyai kesan dimakan oleh haiwan pemburu adalah haram untuk dimakan.
4. Menasakhkan
hukum yang terdapat di dalam Al-Quran. Sebahagian ulama berpandangan bahawa
hadis yang dapat menasakhkan hukum
dalam Al-Quran itu mestilah sekurang-kurangnya bertaraf Mutawatir, Masyhur, dan Mustafhidh.
5. Menerangkan
mengenai ayat yang telah dinasakh dan
ayat mana yang telah dimansukhkan.
Pengertian
hukum Aqli dan sumbernya.
Aqli
dalam bahasa arab mempunyai beberapa erti diantaranya ad-diyah(denda), al-hikmah(kebijakan),
husnut tasharruf(tindakan yang baik
atau tepat). Maka secara istilahnya(terminologi),
akal membawa kepada beberapa pengertian:
1. Aksioma-aksioma
rasional dan pengetahuan-pengetahuan dasar yang ada pada setiap manusia.
2. Pembawaan
yang bersifat instinktif dan
kemampuan yang matang.
3. Cahaya
nurani yang dengannya jiwa dapat mengetahui perkara-perkara yang penting dan
fitrah.
Akal
merupakan ardh atau bagian dari
indera yang ada dalam diri manusia yang ada dan boleh hilang. Akal adalah daya
fikir yang diciptakan Allah untuk manusia kemudian diberi batas tertentu
berbentuk persediaan dan kemampuan yang dapat melahirkan sejumlah aktiviti
pemikiran yang berguna bagi kehidupan manusia yang telah dimuliakan oleh Allah Azza wa Jalla.
Sumber hukum aqli
ialah ijmak dan qiyas setelah Al-Quran menempati kedudukan yang utama dalam sumber
hukum dan hadis menempati tempat kedua selepas kitab suci Al-Quran. Namun
perbezaannya ialah Al-Quran dan hadis merupakan sumber hukum naqli manakala ijmak dan qiyas pula
merupakan sumber hukum aqli.
Ijmak
beerti kesepakatan beberapa orang atas sesuatu persoalan hukum yang timbul
dalam hukum syar’i. Persoalan-persoalan
itu terbatas pada persoalan yang ada dalam Al-Quran sebagai kitab hukum utama
dan hadis sebagai penjelasan yang lebih terperinci tentang penjelasan Al-Quran
yang tidak begitu terperinci. Penetapan-penetapan hukum syar’i dengan kaedah ijmak
ini tidak boleh mengikut penetapan hukum tersendiri. Akan tetapi, ia tetap
merupakan penjelasan hukum yang berada di atasnya berdasarkan wawasan para
ulama yang sudah menguasai ilmunya dengan baik. Maka perbincangan akan berlaku
di kalangan para ulama demi membincangkan sebarang permasalahan yang berlaku
seterusnya mengeluarkan hukum berdasarkan perbincangan sesama sendiri, namun
masih menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling utama.
Manakala
qiyas pula beerti mencari persamaan
dari persoalan hukum syar’i yang
timbul dengan hukum-hukum yang sudah ditetapkan dalam Al-Quran dan hadis serta
hukum ijmak. Penetapan persamaan
hukum syar’i dengan kaedah qiyas dapat dilihat pada penetapan hukum
alkohol yang disamakan dengan khamar.
Pernyataan alkohol tidak terdapat dalam Al-Quran dan hadis, tetapi alkohol
tersebut mempunyai impak atau kesan yang sama dengan khamar iaitu minuman yang dapat memabukkan. Penetapan hukum qiyas, di samping tetap mengacu kepada
Al-Quran sebagai kitab hukum dan sebagai landasan hukum utama. Hukum qiyas tetap tidak dapat ditentukan
secara sembarangan. Hukum qiyas harus
berdasarkan pendapat para ulama dan ahli yang berkaitan berdasarkan manfaat dan mudharat yang sesuai dengan Al-Quran
dan hadis.
Selain
daripada itu, aqli dihubungkan dengan
kajian ilmu-ilmu agama iaitu mengikut gambaran dalil-dalil yang berdasarkan
akal fikiran manusia yang sihat dan objektif yang mana ianya tidak dipengaruhi
oleh keinginan, atau nafsu serta kebencian dari emosi. Aqli juga dihubungkan secara khusus dengan disiplin Ilmu Tafsir,
maka disebut dalam tafsir bi al-ma’qul atau bi ar-ra’yi iaitu penafsiran Al-Quran yang lebih dititikberatkan
kepada kemampuan akal fikiran yang sihat dan objektif iaitu ketika berijtihad
daripada disandarkan kepada periwayatan-periwayatan. Dalam hal ini seorang mufassir akan menggunakan akalnya untuk
berijtihad dengan bantuan ilmu-ilmu Al-Quran, hadis, usul fiqh, dan ilmu-ilmu
lain untuk menerangkan maksud ayat dan mengembangkannya dengan bantuan
perkembangan ilmu-ilmu pengetahuan yang ada sehingga tersusunlah bentuk tafsir
yang sesuai dengan masa. Beberapa tafsir yang terkenal dalam bentuk ini ialah Tafsir Al-Jalalain, Tafsir Ar-Razi, Tafsir Al-Baidhawi
dan lain-lain.
Dalil
Naqli dan dalil Aqli melengkapi antara satu sama lain.
Penentuan
dalil sama ada dalil naqli atau
sesuatu itu dalil aqli ialah fakta
dari permasalahan yang ditunjukkan untuk diimani. Apabila permasalahan tersebut
adalah fakta yang boleh dilihat oleh pancaindera maka ianya adalah dalil aqli bukan naqli. Namun jika permasalahannya tidak dapat dilihat atau ianya
melibatkan pancaindera maka ianya adalah dalil naqli. Dalil naqli
digolongkan sebagai dalil yang layak untuk diimani tergantung pada dalil aqli dalam menetapkannya sebagai dalil.
Antara contohnya ialah:
1. Allah
s.w.t: Orang yang mendalami perkara yang dituntut akidah Islam untuk diimani
akan menjumpai bahawa iman kepada Allah itu wujud dan dalilnya adalah aqli. Alasannya, perkara tersebut iaitu
adanya Al-khaliq (maha pencipta) bagi
segala yang ada yang mana ianya dapat dilihat dengan pancaindera.
2. Malaikat
: Iman terhadap adanya malaikat-malaikat dalilnya adalah naqli. Alasannya kewujudan para malaikat itu tidak dapat dijangkau
atau dilihat dengan pancaindera. Malaikat tidak boleh dilihat zatnya
dan tidak boleh dijangkau dengan apa pun yang menunjukkan kewujudannya.
3. Kitab-kitab
: Iman terhadap kitab-kitab Allah dapat dihuraikan seperti berikut. Jika maksudnya
adalah iman terhadap Al-Quran maka dalilnya adalah aqli, kerana Al-Quran dapat dilihat oleh pancaindera. Demikian pula
kemukjizatan Al-Quran yang dapat dilihat oleh pancaindera sepanjang zaman.
Tetapi jika yang dimaksud adalah iman terhadap kitab-kitab selain Al-Quran,
seperti Taurat, Injil,Zabur, maka dalilnya adalah naqli. Alasannya bahawa kitab-kitab ini adalah dari sisi Allah
tidak dapat dilihat kewujudannya sepanjang zaman. Kitab-kitab tersebut adalah
dari sisi allah dan dapat dilihat kewujudannya tatkala ada Rasul yang membawanya
sebagai mukjizat. Kemukjizatannya berhenti saat waktunya berakhir. Jadi,
mukjizat tersebut tidak dapat dilihat oleh orang-orang kini mahupun selepasnya.
Namun apabila sampai kepada kita, ada yang mengatakan bahawa kitab tersebut
berasal dari Allah dan diturunkan kepada Rasul. Oleh kerana itu, dalilnya
adalah naqli bukan aqli kerana akal di setiap zaman tidak
dapat menjangkau bahawa kitab itu adalah kalam
Allah dan akal tidak mampu melihat kemukjizatannya.
4. Rasul-rasul:
Begitu pula haknya iman terhadap para Rasul. Iman terhadap Rasul Nabi Muhammad
s.a.w dalilnya adalah aqli, kerana
pengetahuan akan Al-Quran sebagai kalam
Allah dan ia dibawa oleh Rasul iaitu Rasulullulah adalah sesuatu yang dapat
dilihat. Dengan melihat Al-Quran dapat diketahui bahawa Muhammad itu adalah Rasululllah.
Hal itu dapat dijumpai sepanjang zaman dan setiap generasi. Sedangkan iman
terhadap para Nabi dalilnya adalah naqli,
kerana dalil iaitu bukti kenabian para Nabi iaitu mukjizat-mukjizat mereka
tidak dapat dilihat kecuali oleh orang-orang sezaman dengan mereka. Bagi
orang-orang yang datang selepas mereka sehingga kini bahkan sampai kiamat pun
mereka tidak menjumpai mukjizat tersebut. Namun seseorang pum tidak ada bukti
yang dapat dilihat atas kenabiannya. Oleh kerana itu, bukti atas kenabiannya
bukan dengan dalil aqli tetapi dengan
dalil naqli kecuali atas kenabian
Nabi Muhammad s.a.w merupakan mukjizat beliau yang dapat dilihat iaitu Al-Quran.
Maka dalilnya adalah aqli.
5. Hari
kiamat: Dalil hari kiamat adalah naqli,
kerana hari kiamat tidak dapat dilihat, malahan pula tiada satu pun perkara
yang dapat dilihat yang menunjukkan tentang hari kiamat. Dengan demikian tidak
terdapat satu pun dalil aqli, untuk
hari kiamat. Maka dalilnya adalah dalil naqli.
6. Qada’
dan Qadar: Dalilnya ialah dalil aqli, kerana qada’ adalah perbuatan manusia yang dilakukannya atau yang
menimpanya. Ia adalah sesuatu yang dapat dilihat, maka dalilnya adalah aqli. Manakala qadar pula ialah khasiat sesuatu yang dimunculkan oleh manusia
seperti kemampuan membakar yang ada pada api, kemampuan memotong yang ada pada
pisau, dan sebagainya. Khasiat ini adalah sesuatu yang daapat dilihat, maka
dalil untuk perkara qadar adalah aqli.
Contoh-contoh
penggunaan Naqli dan Aqli.
1. Contoh
penggunaan naqli dan aqli dalam bidang Ilmu Tauhid yang ada
kaitannya dengan iman kepada kitab-kitab Allah.
a.
Dalil naqli: “Dan mereka yang
beriman kepada kitab(Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab
yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan)
akhirat”
b. Hadis
Nabi: “Beritahukan aku tentang iman. Lalu
baginda bersabda: “engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya,
kitab-kitaNya, rasul-rasulNya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir
yang baik maupun buruk”
2. Contoh
penggunaan naqli dan aqli dalam bidang fiqih, yang ada kaitannya dengan larangan nikah mut’ah.
a.
Dalil naqli: “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,
kecuali terhadap isteri-isteri mereka
atau budak yang mereka miliki”.
b. Hadis
Nabi: “Diriwayatkan oleh Ibnu Majah
bahawasanya Rasulullah s.a.w telah mengharamkan mut’ah, maka ia bersabda .
“Wahai manusia sesungghnya dahulu aku mengizinkan kalian bermut’ah,(tetapi mulai sekarang)tidaklah begitu sesungguhnya
Allah tlah mengharamkannya sampai kiamat”. Ertinya: “Diriwayatkan oleh
Malik dari Az-Zahri dengan sanadnya
dari Ali Karamallahuwajhah bahawasanya Rasulullah s.a.w telah melarang menikahi
wanita secara mut’ah.
Dalil
aqli: Sesungguhnya nikah mut’ah itu tidak dimaksudkan untuk
apa-apa kecuali hanya unutk memenuhi syahwat, tidak pula dimaksudkan untuk
beranak cucu, memelihara anak-anak yang semua itu merupakan maksud dari
pernikahan, maka mut’ah itu mirip
dengan zina dari segi maksud untuk memenuhi syahwat saja dan mengeluarkan air
mani.
3.
Contoh penggunaan naqli dan aqli dalam bidang tafsir, yang ada kaitannya denagn penafsiran
ayat pertama dari surah Al-insyiqaq
iaitu yang berbunyi “Apabila langit terbelah”
a. Tafsir bi al-manqul
(bi-al-mat’sur ) al-alusi menafsirkan ayat ini dengan menyandarkan kepada
periwayatan-periyawatan, sebagaimana ia disebutkan di dalam tafsirnya iaitu: “apabila langit terbelah” yakni
berawan(berkabus putih) seperti yang diriwayatkan Ibnu Abbas yang diikuti oleh Al-Farrada az Zujaj di dalam Al-bahr dan itu menguatkannya dengan
firman Allah “ Dan (ingatlah)hari(ketika)
langit pecah belah mengeluarkan kabut putih” maka Al-Quran sebahagiannya
menafsirkan sebahagian yang lain, dan dikatakan bahawa langit itu terbelah
kerana dahsyatnya hari kiamat.
b. Tafsir bi al-ma’qul(bi ar-ra”yi):
Muhammad Abduh menafsirkan ayat ini dengan akal yang didasarkan pada
pengetahuan dan penelitian ilmiah. Maka ia memandang bahawa insyiqaq as-samaa maknanya berupa satu
kejadian besar dari pelbagai kejadian-kejadian yang berhubungan dengan alam
seperti kejadian singgahnya sebuah bintang dekat dengan bintang yang lain yang
mana ianya menimbulkan gaya tarik menarik atau graviti yang menyebabkan
terjadinya benturan antara keduanya. Oleh kerana benturan tersebut, maka alam
mengalami goncangan yang kuat sehingga muncullah di langit awan dan kabut yang
datang dari pelbagai arah. Maka langitnya terbelah oleh awan dan kabut
tersebut. Hal ini kemudiannya menyebabkan rosaknya peredaran alam.
Penjelasan
sikap Ahlus Sunnah wal Jamaah terhadap Ilmu Kalam.
Imam
Abu Hanifah yang telah wafat pada tahun 150 hijrah Rahimahullah telah berkata:
“Aku telah menjumpai para Ahli Ilmu Kalam.
Hati mereka itu keras daan jiwanya kasar, tidak peduli jika diri mereka
bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka juga tidak memilki sifat wara’
dan tidak juga takwa”. Imam Abu Hanifah Rahimahullah juga berkata ketika
ditanya tentang pembahasan dalam ilmu kalam
dari segi bentuk ia berkata: “Hendaklah
engkau berpegang kepada As-Sunnah dan jalan yang telah ditempuh oleh salafus
soleh”. “Jauhi olehmu akan setiap hal yang baru, kerana ianya adalah bida’ah”.
Al-Qadhi
Abu Yusuf yang telah wafat pada 182 hijrah Rahimahullah, iaitu merupakan anak
murid kepada Abu Hanifah Rahimahullah, berkata kepada Bisyr bin Ghiyats al-Marisi:
“Ilmu kalam adalah suatu kebodohan dan
bodoh tentang ilmu kalam adalah suatu ilmu. Seseorang,yang menjadi pemuka agama
atau tokoh Ilmu Kalam, maka ia adalah [1]zindiq atau dicurigai sebagai zindiq iaitu
orang yang menampakkan permusuhan terhadap Islam”. Malah beliau juga
berkata “ Barangsiapa yang belajar Ilmu
Kalam maka ia akan menjadi zindiq”.
Imam
Ahmad yang telah wafat pada 241 hijrah Rahimahullah berkata: “Pemilik ilmu kalam tidak akan beruntung
selamanya. Para ulama kalam juga mengatakan bahawa orang-orang zindiq iaitu orang yang menampakkan permusuhan terhadap Islam”. Manakala
Imam Ibnul Jauzi yang telah wafat pada tahun 597 hijrah Rahimahullah berkata: “para ulama dan fuqaha iaitu ahli fiqih ummat
ini dahulu mendiamkan atau mengabaikan ilmu kalam bukan kerana mereka tidak
mampu, tetapi mereka menganggap ilmu kalam itu tidak mampu menyembuhkan
seseorang yang haus, bahkan dapat menjadikan seseorang yang sihat itu menjadi
sakit. Oleh kerana itu, mereka tidak memberi perhatian kepadanya dan melarang
untuk terlibat di dalamnya”.
Ibnu
Abdil Barr yang telah wafat pada tahun 463 hijrah Rahimahullah berkata: “Para ahli fiqih dan ahli hadis yang berada
di seluruh kota kaum muslimin telah bersepakat bahawa ahli ilmu kalam adalah ahli bid’ah dan
menyeleweng dari kebenaran”. Sebagaimana kesepakatan mereka bahawa ahli
ilmu kalam tidak dianggap bergabung
dalam tingkatan para ulama yang mana kategori ulama ialah adalah ahli hadis dan
orang-orang yang memahaminya dan mereka mempunyai tingkatan sesuai dengan
keahlian masing-masing dalam meneliti, memisahkan yang sahih dari yang dhaif dan memahami hadis. Imam Malik bin
Anas yang telah wafat pada 179 hijrah Rahimahullah berkata: “Seandainya ilmu kalam adalah ilmu, nescaya
para sahabat dan tabi’in akan membicarakannya sebagaimana pembicaraan mereka
terhadap ilmu-ilmu syariat, akan tetapi ilmu kalam adalah sebuah kebhatilan
yang menunjukkan kepada ke-bhatilan”.
Seterusnya menurut Imam As-Syafi’e Rahimahullah,
sesiapa yang memilki ilmu kalam, ia tidak
beruntung. Malah beliau juga
menghukumkan bagi ahli kalam harus dicambuk dengan pelepah kurma dan sandal
iaitu sepatu dan dinaikkan ke atas unta kemudian diiringi keliling kampung,
kerana ini adalah merupakan balasan bagi orang yang meninggalkan al-Kitab dan
As-Sunnah serta segala ilmu selain daripada Al-Quran hanyalah menyibukkan,
kecuali ilmu hadis dan fiqh kerana ianya adalah untuk mendalami ilmu agama.
kerana mengambil ilmu kalam. Malah menurut beliau “ Inilah balasan orang yang meniggalkan Al-kitab dan As-sunnah serta
mengambil ilmu kalam”. Beliau juga berkata bahawa segala ilmu selain dari
Al-Quran hanyalah menyibukkan, terkecuali ilmu hadis dan fiqh untuk mendalami
agama.
Masalah
pertentangan antara naqli dan aqli dalam bidang tauhid.
Jika
kita menyelusuri sejarah Ilmu Kalam
atau Ilmu Tauhid,maka kita akan menemui bahawa penggunaan dalil naqli dan dalil aqli, sebelum munculnya fahaman asy’ari
ianya sangat kontradikktif. Di mana kelompok atau golongan Salaf dan Qaramatiyah,
sangat mengutamakan dalil naqli dan
meremehkan dalil aqli, sedangkan
kelompok muktazilah yang dipelopori oleh Wasil bin Atha’ sangat mengutamakan
dalil aqli berbanding dalil naqli, begitu juga dengan kelompok Maturidiyah memandang bahawa akal dapat
mengetahui baik dan buruknya sesuatu perkara itu dan mengetahui Allah itu
dengan akal atau dengan kata lain bahawa akal itu merupakan alat untuk
mengetahui Allah.
Setelah
kedatangan atau kemunculan Imam Asy’ari,
kedua dalil itu dikumpulkan olehnya dengan cara saling menguatkan antara kedua-duanya.
Dalam hal ini, Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa akal memerlukan dalil naqli dan dalil aqli memerlukan akal. Oleh kerana itu, ia memandang bahawa bertaqlid atau menerima kepada pendapat
orang tanpa mempergunakan akal merupakan satu kebodohan, begitu juga mencukupkan
akal saja tanpa memerlukan sinar wahyu Ilahi dan sunnah Nabi adalah satu
penipuan belaka. Maka menurutnya jauhilah model seperti ini dan hendaklah
mempergunakan atau menggabungkan kedua-dua dasar utama ini.
Manakala
Ibnu Taimiyah melihat bahawa apabila dikatakan bahawa dua dalil saling
bertentangan, baik kedua-dua itu naqli
atau kedua-duanya aqli atau salah
satunya naqli dan yang lainnya aqli, maka yang harus dikatakan
(ditetapkan) adalah bahawa hal tersebut tidak terlepas dari tiga pilihan iaitu
kedua-duanya qat’i, atau kedua-duanya
zanni, atau salah satunya qa’i atau sala satunya zanni. Apabila kedua-dua itu qat’i, maka tidak boleh ada
pertentangan, baik kedua-duanya itu aqli
atau kedua-duanya naqli atau salah
satunya aqli dan yang lainnya naqli. Ini merupakan kesepakatan para
ulama, kerana dalil qat’i adalah
dalil atau petunjuk yang mengharuskan adanya ketetapan pada madlulnya (yang ditunjukkannya), dan dalalahnya (tanda petunjuknya) tidak
mungkin bathil.
Dalam
hal sebegini, apabila kedua dalil qat’i saling
bertentangan dan salah satunya menentang madhlul
yang lainnya, maka kedua-duanya mesti bersatu, dan ini tidaklah mungkin, bahkan
setiap dalil yang diyakini bertentangan dengan dalil yang diyakini qat’i maka kedua dalil tersebut atau
salah satunya haruslah bukan qat’i
atau kedua madhlulnya saling
bertentangan. Apabila salah satu dari kedua dalil yang saling bertentangan itu qat’i tanpa yang lainnya, maka yang qat’i haruslah didahulukan sebagaimana
kesepakatan para ulama, baik dalil itu naqli
atau dalil itu aqli kerana zanni itu tidak sampai kepada tahap
yakin. Manakala apabila kedua-duanya
zanni, maka hal ini harus dibawa kerana tarjih,
mana antara keduanya yang paling rajih
maka ianya didaulukan baik dalil itu naqli
ataupun aqli.
Namun
bagi ulama yang bernama Muhammad Abduh berpendapat sama dengan Ibnu Taimiyah
bahawa antara naqli dan aqli tidak mungkin bertentangan. Namun
ketika ia didapati ada pertentangan antara keduanya, beliau memilih yang benar
menurut aqli sehingga tampak
dihadapannya dua jalan iaitu tunduk kepada kebenaran wahyu dengan mengakui
ketidak mampuan dalam memahaminya dan menyerahkan perkara tersebut kepada
Allah, atau mentakwilkan wahyu dengan
memperhatikan kaedah-kaedah bahasa sehingga ada persesuaian antara maknanya
dengan apa yang telah ditetapakan oleh akal.
Pandangan
Jumhur Ulama’ tentang pertentangan antara naqli
dan aqli dalam bidang tauhid.
Jumhur
Ulama bersepakat tentang pertentangan antara naqli dan aqli dalam
bidang tauhid kepada beberapa pandangan iaitu:
1. Naqli
didahulukan atas aqli, kerana naqli itu ma’shum sedang aqli tidak ma’shum.
2. Akal
mempunyai kemampuan mengenal dan memahami yang bersifat global dan tidak bersifat terperinci.
3. Apa
yang benar dari hukum-hukum akal pasti tidak bertentangan dengan naqli.
4. Apa
yang salah dari pemikiran akal adalah apa yang bertentangan dengan naqli.
5. Penentuan
hukum-hukumn tafsiliyyah(terperinci
seperti wajib,haram dan sebaginya)adalah hak prerogatif syariat(naqli).
6. Akal
tidak dapat menentukan hukum tertentu atas sesuatu sebelum datangnya wahyu,
walaupun secara umum ia dapat mengenal dan memahami yang baik dan buruk.
7. Balasan
atas pahala dan dosa ditentukan oleh naqli.
8. Janji
syurga dan ancaman neraka sepenuhya ditentukan oleh naqli.
9.
Tidak ada kewajipan tertentu
terhadap Allah yang ditentukan oleh akal kita kepadaNya.
Nilaian
syariat Islam terhadap manusia
Syariat
Islam telah memberi nilai yang amat tinggi terhadap manusia. Hal ini dapat
dilihat dalam beberapa keadaan:
1. Allah
hanya menyampaikan kalamnya kepada orang berakal, kerana hanya mereka dapat
memahami agama dan syariatnya.
2. Akal
merupakan syarat yang harus ada dalam diri manusia untuk dapat menerima taklif(beban hukum) dari Allah Azza wa Jalla. Hukum-hukum syariat tidak
berlaku bagi mereka yang tidak menerima
taklif. Di antara orang tidak dapat menerima taklif itu adalah orang gila kerana hilangnya akal dan daya
berfikir secara waras.
3. Allah
Azza wa Jalla mencela orang yang
tidak menggunakan akalnya. Misalnya celaan Allah terhadap ahli neraka yang
tidak menggunakan akalnya.
4. Galakan
yang begitu banyak dalam proses berfikir dalam Al-quran seperti tadabbur, tafakkur, taaqqul dan
lain-lain.
5. Islam
mencela taqlid yang membatasi dan
melumpuhkan fungsi dan kerja akal.
6. Islam
memuji orang-orang yang menggunakan akalnya dalam memahami dan mengikuti
kebenaran.
7. Pembatasan
akal fikiran manusia tentang sesuatu yang tidak dapat dicapai akal.
Pengutamaan
ulama salaf terhadap hukum naqli berbanding hukum aqli
Ulama
Salaf(ahlus sunnah) sentiasa mendahulukan
naqli(wahyu) dari aqli(akal). Naqli adalah dalil-dalil syar’i yang melibatkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Akal yang dimaksudkan oleh mu’tazilah
adalah, dalil-dalil aqli yang dibuat
oleh para ulama Ilmu Kalam dan mereka
jadikan sebagai agama yang menundukkan (mengalahkan) dalil-dalil syar’i.
Mendahulukan dalil naqli atas dalil aqli bukan beerti Ahlus Sunnah tidak
menggunakan akal, tetapi maksudnya adalah dalam menetapkan aqidah mereka tidak
menempuh cara yang ditempuh para ahli
kalam yang menggunakan akal semata untuk memahami masalah-masalah yang
sebenarnya tidak dapat dijangkau oleh akal dan menolak dalil naqli(dalil syar’i) yang bertentangan dengan akal mereka.
Imam
Abul Muzhaffar As Sam’ani Rahimahullah berkata bahawa mazhab Ahlus Sunnah
mengatakan bahawa akal tidak mewajibkan sesuatu bagi seseorang dan tidak
melarang sesuatu darinya, serta tidak ada hak baginya untuk menghalalkan
sesuatu atau mengharamkan sesuatu, sebagaimana juga tidak ada
sewenang-wenangnya baginya untuk menilai baik dan buruknya. Seandainya tidak
datang kepada kita wahyu, maka tidak ada bagi seseorang suatu kewajipan agama
pun dan tidak ada pula yang namanya pahala dan dosa.
Rumusan
Naqli
dan aqli merupakan dua landasan yang utama yang mana ianya harus dipegang oleh
setiap muslim sama ada ketika mengungkap dan membuktikan kebenaran-kebenaran
dan memenatapkan keteguhan dalam keyakinan yang ada di dalam ruang lingkup
disiplin ilmu Tauhid atau akidah, atau ketika menginstinbat(mengambil
dalil-dalil) dan menetapkan hukum tentang perkara yang ada di dalam ruang
lingkup disiplin ilmu fiqih, atau ketika menafsirkan Al-quran.
Naqli
secara istilahnya ialah merupakan gambaran dengan dalil-dalil yang dinukil atau
di ambil dari kitab suci Allah yang Maha Mulia dan dari sunnnah yang sesuai
atau dalil-dalil yang diriwayatkan kepada kita oleh naqalah al-hadis dan perawi-perawi. Gambaran ini selaras dengan
keperluan ilmu tauhid terhadap dalil-dalil yang boleh membanteras dan mengikis
segala keraguan atau kepercayaan yang lemah sehingga muncul keteguhan, keyakinan
dan kepercayaan yang kuat dan tidak mudah goyah.
Namun
gambaran ini, tidak menutup bidang ilmu lain untuk berpegang kepada naqli,
justeru setiap kajian-kajian ilmu agama islam tidak terlepas dari naqli,
seperti dalam bidang fiqh dan tafsir, di mana seorang faqih ketika ingin
menetapkan hukum sesuatu perkara yang memerlukan aqli, begitu juga mufasir
ketika ingin menafsirkan ayat-ayat Al-quran yang memerlukan bantuan naqli,
sehingga muncullah istilah tafsir bi
al-manqul atau bi al-ma’tsur.
Hukum naqli dan hukum aqli ini juga sangat memainkan peranan yang penting dalam
menentukan hukum yang berkisar dalam agama Islam.